Penerbitan Al-Madani Sdn. Bhd. (Al-Madani) telah ditubuhkan pada bulan November 1998, memulakan perniagaannya dengan menerbitkan dua buah buku edisi baru: "Asas-asas Penting Bahasa Arab" dan "Kaedah Ringkas Bahasa Arab" - satu teknik berkesan untuk menguasai Bahasa Arab yang disusun oleh Ustaz Lutfi Hassan. Teknik ini kemudiannya dikenali sebagai QAMAR - Qaedah Mudah Pandai Arab.
Hasil dari maklumbalas yang baik daripada pengguna dan orang ramai, Al-Madani telah menerbitkan 14 buah buku dalam masa kurang dari 18 bulan merangkumi beberapa peringkat pengajian Bahasa Arab daripada PMR hinggalah SPM; Pra-Universiti dan kolej; dan umum.
Selaras dengan perkembangan syarikat dan kepakarannya, Al-Madani melangkah ke hadapan dengan meneroka aspek-aspek lain dalam pembelajaran Bahasa Arab seperti menganjurkan program motivasi, bengkel Bahasa Arab, menyediakan modul untuk pusat pengajian tinggi, menyediakan ruangan Bahasa Arab di dalam majalah dan suratkhabar, di samping menganjurkan kelas-kelas Bahasa Arab Umum.
Berpegang teguh dengan motto " Bersama Memartabatkan Bahasa Al-Quran", Al-Madani akan meluaskan lagi usahanya meneroka semua aspek pembelajaran Bahasa Arab di dalam dan luar negara.