04/07/2005

j-Qaf : Kini dalam Pendidikan Bestari

PENDIDIKAN Bestari Utusan Malaysia akan menyajikan program Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (j-Qaf) pada setiap Isnin, mulai hari ini.

Ruangan ini diselaraskan dengan sukatan bahasa Arab Komunikasi untuk tahun satu yang baru bermula pada tahun ini.

Pendidikan Bestari boleh didapati secara percuma bersama akhbar Utusan Malaysia setiap isnin hingga Jumaat.

Bahan-bahan bagi program untuk tahap sekolah rendah itu akan mengikut format Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) dengan setiap pelajar perlu membaca nota, kegunaan harian, bimbingan dan lembaran kerja.

Program berkenaan akan dijalankan dengan kerjasama guru-guru bertauliah daripada Penerbitan Al-Madani.

Menurut Ketua Unit Pendidikan, Wahid Hashim, j-Qaf di ruangan Pendidikan Bestari bertujuan membantu guru, pelajar dan ibu bapa mendapat bahan pengajaran dan pembelajaran mengikut sukatan dan komposisi sebenar di dalam bilik darjah.

"Orang ramai yang berminat untuk menguasai bahasa Arab boleh juga mempelajarinya daripada ruangan yang kami sediakan ini,'' katanya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada keluaran pertamanya, murid-murid akan dibiasakan dengan latihan menulis serta mempraktikkan ucapan-ucapan ketika bertemu sahabat handai, seperti selamat sejahtera, selamat datang, selamat pagi, selamat petang, siapakah nama kamu dan sebagainya.

Pada bahagian nota, persembahan J-Qaf akan dilakukan secara santai, dengan dialog berwatak, yang diharap dapat menyemai nilai-nilai murni.

Sementara itu, Pengurus Penerbitan Al-Madani, Mohammad Zakir Nothman berkata, bahasa Arab di Malaysia semakin mendapat tempat, lebih-lebih lagi setelah Kementerian Pelajaran memperkenalkan mata pelajaran tersebut di sekolah-sekolah di seluruh Malaysia.

"Ke arah itu, usaha giat dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran termasuk memperkenalkan bahasa Arab J-Qaf di peringkat sekolah rendah,'' ujarnya.

Menurut Mohammad Zakir, Penerbitan Al-Madani telah beroperasi sejak tahun 1998, dan sejak itu pihaknya sentiasa berusaha mewujudkan bahan tambahan melalui akhbar agar dapat meningkatkan lagi semangat dan minat para pelajar mempelajari bahasa Arab yang turut dikenali dengan bahasa Al-Quran.

Mengulas mengenai format penyampaian di dalam Pendidikan Bestari, beliau berkata, tajuk-tajuk yang disusun mudah untuk diikuti oleh murid tahun satu di samping nota penerangan yang ringkas.

"Setiap tajuk disusuli pula dengan latihan-latihan yang menarik beserta contoh jawapan.

"Kami turut menggalakkan ibu bapa atau penjaga bahkan guru-guru agar turut serta dalam usaha membantu pelajar-pelajar dan anak-anak dalam menjawab latihan yang disediakan,'' katanya.

Kementerian Pelajaran telah melancarkan fasa pertama projek rintis bagi 30 buah sekolah seluruh negara pada 24 April 2004 di Terengganu dan diikuti dengan fasa kedua yang melibatkan dua buah sekolah di Wilayah Persekutuan.

Usaha untuk mengadakan pengajian j-Qaf di sekolah rendah seluruh negara ini adalah satu pendekatan yang baru dalam menerapkan pengetahuan Islam melalui pendekatan empat penjuru - jawi, al-Quran, bahasa Arab dan fardu ain.

Program j-Qaf telah dilaksanakan secara percubaan dalam projek rintis yang pertama mulai April hingga Julai 2004 dan projek rintis kedua pada 1 hingga 31 Oktober 2004.

Bagi pelaksanaan sebenar 2005, program ini akan melibatkan 1,221 buah sekolah seluruh negara dan melibatkan seramai 3,663 orang guru.

Model-model j-Qaf yang dilaksanakan adalah Model Kelas Pemulihan Jawi, Model Enam Bulan Khatam al-Quran, Model Tasmik Khatam al-Quran, Model Perluasan Pelaksanaan Bahasa Arab Komunikasi dan Model Bestari Solat.

Model-model tersebut mempunyai kurikulum dan modul yang disediakan oleh pihak Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (Japim), Kementerian Pelajaran.

Program j-Qaf dilihat mengambil semangat Perdana Menteri yang berusaha menggerakkan pelaksanaan Islam hadhari.

http://www.tutor.com.my/tutor/dunia.asp?dt=0704&pg=be_01.htm&sec=Berita&y=2005